- Banyak
orang Muslim yang mencintai Nabi s.a.w. Namun gambaran tentang keindahan
akhlak dan kehidupan beliau sering kali tenggelam disebabkan oleh
pencemaran terhadap kisah kehidupan beliau yang sebenarnya. Pencemaran itu
datang dari berbagai sudut. Kadang-kadang ia datang dari musuh-musuh,
kadang-kadang ia datang dari umat Islam itu sendiri. Musuh bertujuan untuk
memberikan gambaran yang salah tentang beliau s.a.w. Sementara umat Islam
ada yang jahil, atau yang berkepentingan tertentu, yang juga memberikan gambaran
yang salah tentang Nabi s.a.w.
Jahil
- Umat
yang jahil tidak dapat membedakan antara riwayat yang sahih dan yang palsu
mengenai Nabi s.a.w. Lantas mereka menyebarkan hadis-hadis palsu yang
dikaitkan dengan beliau. Mereka inilah yang Nabi s.a.w. sendiri nyatakan
dalam hadis mutawatir berikut:
إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ، مَنْ كَذَبَ
عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.”
Cacat
- Sementara
yang berkepentingan pula menyebarkan hadis-hadis secara tidak seimbang
berdasarkan kepentingan mereka. Umpamanya, jika mereka berkepentingan
politik, maka Nabi s.a.w. digambarkan seperti seorang politikus seperti
mereka. Sifat-sifat indah Nabi s.a.w. dalam aspek yang lain tidak
ditonjolkan, sebaliknya Nabi s.a.w. seakan sepanjang hidupnya hanya
berpolitik dalam semua perkara. Sementara yang berkepentingan ekonomi akan
menggambarkan Nabi s.a.w. seakan sibuk untuk menghasilkan harta dan
mempromosikan barang-barang yang mereka jual sepanjang masa. Bagi yang
berperwatakan keras pula, mereka cuba menggambarkan seakan Nabi s.a.w. itu
keras seperti mereka. Sementara yang sentiasa tewas pula, cuba
menggambarkan Nabi s.a.w. itu sentiasa tewas dan mengalah. Adapun yang
mengampu pemerintah akan mencari hadis-hadis Nabi s.a.w. yang seakan
mengizinkan segala kekejaman rejim atas nama agama dan salafussoleh
kononnya. Sementara yang menentang pemerintah pula, cuba mencari dalil
yang menghalalkan segala tindakan mereka sekalipun sudah melampaui batasan
Islam.
- Begitu
juga yang berusaha menawan hati pengikut dengan gaya tertentu lalu
mendakwa Nabi s.a.w. seakan sepanjang masa memakai jenis pakaian tertentu
seperti yang mereka pakai. Saya melihat mereka yang sibuk dengan syamlah
ataupun rida’ ataupun burdah yang disidai di bahu seakan memberikan
gambaran Nabi s.a.w. itu sentiasa dalam keadaan pakaian yang sebegitu.
Padahal, baginda seorang yang terlibat dengan pelbagai urusan umat,
baginda memakai pakaian biasa, baju besi perang, jubah Roman, Yaman, dan
pelbagai lagi berdasarkan kepada keperluan semasa. Padahal hidup Nabi
s.a.w. bukan sekadar jadi penceramah tetapi menguruskan umat dan
perjalanan hidup mereka. Bagindalah pemimpin kerohanian, pemimpin akhlak,
pemimpin politik, pemimpin perang dan segalanya.
Keindahan Peribadi Nabi
- Dalam
catatan kali ini, saya ingin membuat beberapa kesimpulan tentang peribadi
Nabi s.a.w. untuk dibaca oleh semua pihak. Kesimpulan ini diambil dari
riwayat yang sahih. Dari riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah itu
seorang yang tampan wajahnya dan indah akhlaknya. Beliau tidak mengucapkan
ucapan yang keji. Tidak membalas dendam atas kezaliman ke atasnya,
melainkan apabila seseorang melanggar perintah Allah. Tidak pernah
diberikan pilihan antara dua perkara melainkan baginda memilih yang paling
mudah selagi itu bukan satu dosa. Tangannya tidak pernah memukul wanita,
hamba abdi, atau khadam kecuali semasa di medan perang. Apabila baginda
berbicara dengan seseorang baginda menghadap wajah ke arah orang tersebut
sehingga dia akan menyangka dialah orang yang paling baginda kasihi.
- Dalam
masa yang sama baginda seorang yang pemalu sehingga disifatkan bagaikan
pemalunya seorang gadis. Apabila baginda membenci sesuatu, nampak tandanya
pada wajah baginda. Baginda selalu memberikan senyuman.
قَالَ جَرِيرُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ -رضى الله عنه- "مَا حَجَبَنِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مُنْذُ أَسْلَمْتُ، وَلاَ رَآنِي إِلاَّ ضَحِكَ".
Kata Jarir bin ‘Abdillah: “Sejak aku menjadi Muslim, tidak pernah Rasulullah s.a.w. berjumpa denganku melainkan senyum padaku” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ الْحَارِثِ بْنِ جَزْءٍ، أَنَّهُ قَالَ: "مَا رَأَيْتُ أَحَدًا أَكْثَرَ تَبَسُّمًا مِنْ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم".
Kata ‘Abdullah bin al-Harith: “Aku tidak pernah melihat seseorang lebih banyak senyuman daripada Rasulullah s.a.w” (Riwayat al-Tirmizi, sahih).
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ: ...لاَ يَنْزِعُ يَدَهُ مِنْ يَدِهِ حَتَّى يَكُونَ الرَّجُلُ الَّذِي يَنْزِعُ
Daripada Anas bin Malik, katanya: “Nabi s.a.w. itu (apabila berjabat) tangan tidak akan menarik tangannya sehinggalah orang tersebut menariknya. (Riwayat al-Tirmizi)
- Percakapan
baginda pula jelas, tidak tergesa-gesa dan difahami oleh setiap yang
mendengar. Apabila baginda ingin mengkritik seseorang, baginda tidak
menyebut mengapa dia begitu, atau seumpama dengannya:
عَنْ عَائِشَةَ، -رضى الله عنها- قَالَتْ: كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا بَلَغَهُ عَنِ الرَّجُلِ الشَّىْءُ لَمْ يَقُلْ مَا بَالُ فُلاَنٍ يَقُولُ وَلَكِنْ يَقُولُ "مَا بَالُ أَقْوَامٍ يَقُولُونَ كَذَا وَكَذَا
“Daripada ‘Aishah r.ha: “Bahawa Nabi s.a.w. apabila sampai kepada baginda sesuatu cerita mengenai seseorang, baginda tidak akan berkata: mengapa si dia itu berkata begitu”, tetapi baginda menyebut: “Mengapa ada pihak yang berkata sebegini”. (Riwayat Abu Daud, sahih).
Kehalusan Budi
- Akhlak
dan budi baginda sangat halus:
عَنْ أَنَسٍ بن مَالِك، قَالَ: "خَدَمْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم عَشْرَ سِنِينَ فَمَا قَالَ لِي أُفٍّ قَطُّ وَمَا قَالَ لِشَيْءٍ صَنَعْتُهُ لِمَ صَنَعْتَهُ وَلاَ لِشَيْءٍ تَرَكْتُهُ لِمَ تَرَكْتَهُ"
Kata Anas bin Malik: “Aku berkhidmat kepada Nabi s.a.w. sepuluh tahun, tidak pernah baginda berkata kepadaku ‘ah!’ (mengherdik). Tidak pula berkata kepada apa yang aku lakukan: 'Mengapa engkau buat begitu?’. Tidak kepada apa yang aku tidak buat: 'Mengapa engkau tidak buat?' (Riwayat al-Tirmizi, sahih).
Nabi s.a.w. seorang yang pemurah. Tidak pernah berkata
‘tidak’ apabila diminta sesuatu haknya. Baginda bersabda:
لَوْ كَانَ لِي مِثْلُ أُحُدٍ ذَهَبًا، مَا يَسُرُّنِي أَنْ لاَ يَمُرَّ عَلَىَّ ثَلاَثٌ وَعِنْدِي مِنْهُ شَىْءٌ، إِلاَّ شَىْءٌ أُرْصِدُهُ لِدَي
“Jika aku memiliki emas sebesar Bukit Uhud, aku tidak suka berlalu tiga malam sedangkan masih ada sedikit emas itu bersamaku. Melainkan sedikit untuk membayar hutang.” (Riwayat al-Bukhari).
Baginda seorang yang santun. Dalam riwayat al-Bukhari, pernah seseorang datang kepadanya, menarik rida’ (kain di leher baginda) dengan kuat sehingga berbekas di tengkok baginda, kemudian bercakap kasar dengan baginda. Namun baginda memandang kepada orang itu dengan senyuman dan memerintahkan agar diberikan pemintaannya.
- Nabi
s.a.w. itu menunaikan hajat sahabat-sahabatnya. Baginda melunaskan hutang
Bilal bin Rabah, mengahwinkan sahabat-sahabat yang masih bujang, mendengar
aduan kaum wanita mengenai suami mereka dan aduan setiap pihak tentang
masalah mereka. Bahkan baginda mendengar aduan unta yang dibebankan oleh
tuannya bebanan kerja yang berat. Baginda bersabda kepada tuannya:
أَفَلَا تَتَّقِي اللَّهَ فِي هَذِهِ الْبَهِيمَةِ الَّتِي مَلَّكَكَ اللَّهُ إِيَّاهَا؟، فَإِنَّهُ شَكَا إِلَيَّ أَنَّكَ تُجِيعُهُ وَتُدْئِبُهُ
“Mengapa engkau tidak takutkan Allah mengenai haiwan yang Allah telah jadikan engkau memilikinya. Sesungguhnya ia telah mengadu kepadaku engkau membiarkannya lapar dan membebankannya” (Riwayat Abu Daud, sahih). Justeru itu, baginda itu adalah rahmat untuk sekalian alam.
- Nabi
s.a.w. seorang yang tawaduk (humble), berjalan bersama para janda dan
orang miskin untuk menunaikan keperluan mereka. Menerima jemputan makan
sekalipun roti keras yang sudah berubah baunya. Baginda pernah bersabda:
لَوْ دُعِيتُ إِلَى ذِرَاعٍ أَوْ كُرَاعٍ لَأَجَبْتُ، وَلَوْ أُهْدِيَ إِلَيَّ ذِرَاعٌ أَوْ كُرَاعٌ لَقَبِلْتُ
“Jika dijemputku memakan betis (kambing) sekalipun nescaya aku pergi. Jika diberikan kepadaku betis kambing sekalipun, aku terima” (Riwayat al-Bukhari).
Baginda pernah diracun oleh wanita Yahudi di Khaibar semasa menerima hadiah makanan sehingga membawa kesan ke akhir hayat.
- Baginda
juga memanja dan bermain dengan anak-anak kecil. Baginda memberikan salam
kepada kanak-kanak apabila baginda melalui mereka dan mendoakan untuk
mereka keberkatan.
- Banyak
lagi sifat peribadi baginda yang unggul. Bayangkan keadaan seorang insan
yang hidup dalam kalangan masyarakat Arab yang membunuh anak-anak
perempuan mereka, tiada buku-buku peradaban seperti Roma, Parsi, China
ataupun India. Namun, berakhlak dengan penuh ketinggian yang mengatasi
segala tamadun.
Kita ini ingin mengikut baginda. Kita mungkin lemah dan
gagal mencontohi baginda dalam segala aspek kebaikannya. Namun, jangan berikan
gambaran yang salah kepada dunia dan non-Muslim mengenai Nabi kita yang agung
itu.